Sunday, November 11, 2012

Kisahku Yang Amat Peribadi

( Walaupun agak berkias tapi dalam maknanya ) Aku, aku, kelu lidahku untuk menceritakan lipatan kesumaku. Apakah aku pasti kuat untuk lontarkan cerita ini. Cerita kegagalan dan kehampaan. Aku tahu orang suka menatap cerita kecundangan orang lain. Atau mereka puas kerana ada insan yang kecewa, mengalah, jatuh dan menderita. TAPI akhirnya aku tahu, aku perlu rasa bangga kerana kegagalan. Kegagalan menjadi begitu nikmat untuk aku ceritakan. Begini mulanya. Aku ini seorang yang sentiasa meminati alam persekolahan, hingga aku terlupa bahawa aku perlu remaja, muda dan dewasa. Aku lupa bahawa manusia ini ada perasaan. Ada kemahuan. Mungkin juga aku ni terdidik dalam keluarga yang agak konservatif. Semuanya berperaturan. Umpama burung dalam sangkar, dijaga, dibela, disayangi tapi terbelenggu dirinya. Apabila aku menjejakkan kakiku ke Maktab Perguruan, aku masih berperangai lama. Aku sentiasa dengan duniaku. Ulat buku. Dunia yang amat membosankan bagi sesetengah orang tapi bukan bagiku. Episod di alam fantasi menjadikan aku kaku, membisu, rasa malu, menatap kedaifan diri, berteleku di hadapan Ilahi. Apakah aku seorang musafir terlantar di gurun gersang, ataupun seorang fakir kehausan di bawah curahan air mata. Aku tetap aku, yang egois, yang tak pernah tahu erti kekecewaan. Dalam hidupku aku mungkin tak pernah tahu ada insan yang mencintaiku, kerna aku ini insan jujur yang mendambakan kasih yang entah bila kan menjelma. Apakah aku umpama ombak yang sentiasa terdampar di pantai, Apakah aku hanya seorang kelana yang telantar di jalanan. Ataupun aku seorang pengemis yang sentiasa menadah simpati. Dia seorang gadis yang memang sukar untuk meluahkan madah cinta, Cuma aku yang ternanti-nanti anyaman madah yang boleh melenakan impian. Aku tidak tahu apakah aku tersilap laluan, ataupun aku sendiri gagal membaca irama kagu syahdu yang didendangkan. Aku seperti termangu-mangu, cahaya terang menyilaukan mata, tapi akhirnya aku faham, irama yang didendangkannya. Tapi dia tidak setia, aku cuma menjadi insan yang dikecewakan. Aku mula menjauhkan naluriku daripada dunia yang sepi, umpama malam mula berbintang, umpama siang yang terang dan cemerlang, Aku mula bebas daripada dakapan keluarga, aku mula memahami erti hidup bersendirian. Hidupku mula memahami erti cabaran dan dugaan apabila aku mula bertugas sebagai seorang guru di SK Felda Kahang Barat, Kluang. Aku tahu aku akan mula meninggalkan keluarga tercinta kerana menduduki rumah felda yang dijadikan kauters guru. Aku begitu sunyi kerna terpaksa duduk seorang diri, nun jauh di hujung hutan. Sekolah sementara itu terletak jauh dari petempatan felda. Waktu malam aku duduk bersendirian sambil memetik sebuah gitar. Aku umpama seorang seniman hebat mengukir irama lagu. Bagiku, akulah wira mampu melagukan irama syahdu, gemersik bunyinya. Dari celah-celah dinding rumah felda tu, aku tahu irama lagu merduku semakin gemersik, menghambat kesunyian malam. Mungkin aku tersalah sangka bahawa aku hanyalah seorang yang amat malang, bersendirian di tengah-tengah kegelapan malam. Lagu apa yang aku nyanyikan pun aku tidak tahu. Mendayu-dayu sekali iramanya. Aku menjadi seorang seniman malam. Lagu kucipta lagu meruntun jiwa, menjadi gamitan seorang gadis, Kartini namanya. Begitu ayu tuturnya, malu-malu langkahnya. Umpama seorang puteri keluar ke taman. Aku tahu puteri ini meminati aku. Aku menjadi insan yang memuji-muji kecantikan, dan keindahan . Jiwaku menjadi segar, Kekeringan dan ketandusan mula digenangi air hujan. Aku umpama Sang Rajunatapa berjaya menemui bunga Bakawali. Aku agungkan cintanya, Si Juliet yang manis, dan romantis sekali. Hari-hari berlalu, sentiasa dihembusi alunan angin yang lembut dan gemersik sekali. Tapi akhirnya kehampaan jua kutemui. Dia duduk berdakapan mesra dikehenigan malam tanpa perasaan, memusnahkan impianku. Aku buang jauh-jauh impianku itu. Hampa. Aku benci sekali. Hidupku musnah dan hampa kerna seorang insan bernama wanita. Aku benci diriku kerna sentiasa membawa kemurungan dan kegagalan. Tamat satu llagi episod dalam hidupku yang sentiasa menjadi seorang pengemis cinta. . Aku selalu memikirkan diriku sebagai seorang protagonis. Aku ingin menjadi seperti seorang perwira yang perkasa, yang agung yang selalu didambakan oleh sang wirawati. Tapi apalah malang nasibku, aku hanya seorang insan yang lemah, tak berdaya mengangkat dan mendongakkan muka menatap keindahan sang purnama memancarkan cahayanya pada waktu malam. Apakah aku seorang penyair yang sering terlupa liriknya, ataupun seorang petapa yang gagal menghadapi rintangan dan dugaan. Aku tahu aku hanyalah seorang insan yang terhina, kerana kekerdilannya. Apakah dayaku untuk bangun menjadi agung, perkasa dan ada maruah diri. Aku tahu aku bukan insan yang lemah. Aku boleh menjadi hebat kalau aku percaya kepada diri. Aku perlu kuatkan semangat bahawa aku boleh hidup seribu tahun lagi. Aku terus menyanyikan lagu kehampaan, apabila aku mula bertugas di mana, tak perlu aku beritahu mungkin. Aku mengenali seorang gadis yang pada fikiranku amat cantik, manis dan amat menepati kehebatan seorang wanita. Tapi aku tidak faham, dia pergi tanpa memberitahu aku apakah sebabnya. Biarlah mungkin dia tidak menyukai diriku, atau mungkin dia hanya menghormati diriku. Pedih sungguh hati ini, dikecewakan, dihina dan dihampakan. Biarlah dia pergi walaupun dengan menghampakan seorang insan lain. Kehidupan ini, menjadi lebih bermakna apabila aku mula mengenali erti cinta. Perasaan mencintai dan dicintai, umpama bumi gersang disirami hujan, aku bahagia kerana berakhirnya suasana kemurungan seribu tahun dan menjelma zaman kesyahduan, hebatnya dunia ini kerna kesudian sang mentari memancarkan cahaya kepada alam ciptaan tuhan ini. Aku umpama Seri Rama bertemu dengan Sang Sita, umpama Si Majnun menemui Si Laila, berdakapan penuh mesra, mengimbau kembali kekeringan rasa cinta dan sayang terhapusnya rasa rindu dan dendam kerana menemui kekasih hati. Aku mengenali permaisuriku. Dia seorang insan yang baik, manis dan mesra sekali. Walaupun pada awalnya agak sukar untuk meneruskan episod cinta itu. Tapi kerana aku rasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan dia daripada sandiwara hidup dunia ini. Keluarganya berantakan. Dia seorang insan malang, yang memerlukan seorang wira dalam hatinya. Walaupun banyak kelemahan dan kekurangannya tapi Itulah dia permaisuriku, yang kucintai. Walaupun ada kalanya aku sukar memikirkannya, tapi itulah sebenarnya hadiah ilahi kepadaku. Aku harus tunaikankan amanat ini, kerana aku percaya untuk menjadi insan cemerlang aku perlu berjaya mengatasi dugaan ini. Tiada madah dapat digubal, tiada kata dapat kususun, tiada irama dapat kulagukan, tapi aku tahu rasa cintaku amat mendalam, Cuma mungkin aku gagal untuk mempamerkannya

Thursday, November 1, 2012

Sajak untuk seorang Siti

Angin berpuput sayu, mendendangkan lagu merdu, bisa menusuk kalbuku, yang sentiasa merindu. Oh, Oh,oh Oh,oh,oh Kiranya takut pada malam, kita juga takut pada kegelapan, tika kita bersalaman, kita juga sering kealpaan. Mungkin kita tahu, Dunia bakal menemukan, Kita dengan satu ketahuan, Yang bakal kita diketemukan. Gemersik malam, yang selalu menjanjikan, satu kemuraman, umpama sang malam yang suram. Terasa dikeheningan ini, Kita bakal dikejutkan, Purnama bakal tenggelam, dalam kesuraman malam.