Friday, July 31, 2009

Takwa itu

Aku selalu beranggapan bahawa manusia itu baik-baik belaka. Tetapi tidak mungkin bukan. Manusia dijadikan dan diturunkan tuhan di atas muka bumi ini kerana untuk diuji. Oleh itu kita tidak perlu menyoal mengapa banyak sangat porak peranda gelagat manusia di dunia ini. Itu sebenarnya kan bentuk-bentuk ujian yang telah tuhan janjikan. Kalau dunia ini semuanya aman tentu sukar untuk membezakan antara manusia yang tinggi darjatnya dari segi ketakwaannya kepada tuhan. Semua orang baik, aman dan takwa tentulah tidak menepati konsep qada dan qadar tuhan.

Monday, July 20, 2009

Puisi Kerana Malang

Dalam kesyahduan aku masih rapi
Dalam kesayuan aku ratapi
Dalam kesyukuran aku dakapi
Malam yang sukar dimengerti

Gemersiknya alunan muziknya
tali temalinya yang usang
jari jemarinya masih lancang
menarikan liriknya dengan kencang

Aku pemuzik yang terlena
mengalun bunyi kelana
Yang pasti menyukar
sang teruna untuk lena.

Apa kita tak mengerti
bahawa malam ini
milik semua insan yang lena,
Apa kita tidak pasti bahawa setiap
insan punya impian dan cita-cita
Kita tahu sebenarnya,
Tapi kita tidak pernah
Cuba untuk tahu,

Aku, bukan insan, yang buta,
Aku , bukan insan yang kejam,
Aku, bukan insan yang hina,
Aku insan yang punya harga diri.


Telahan yang munafik
Jangkaan yang mungkir
Sayang sekali, seorang insan,
seorang insan yang tandus hidupnya
Tetapi aku tidak bisa.

20/07/2009
9.00 malam

Pemula Kata ( Deep structures )

Saya manusia yang dilahirkan dengan penuh pancaroba. Kenikmatan bagi orang itu biasanya ialah dikurnai tuhan dengan dengan kesenangan, ketenangan, kekayaan. Kesyukuran yang seharusnya mereka lakukan. Tapi kita yang berkelana dengan pancaroba, kesukaran, kemiskinan, penghinaan dan kesengsaraan. Kita juga yang terleka seketika kerana terdampar dalam nista dan terinaya, masih perlu berteleku memohon ketentuan Ilahi. Apakah kita pasti hidup kita berlangsung dengan kejayaan kerana ketentuan itu telah ditentukan. Apakah kita harus meranduk malam suram. Apakah kita masih hebat kerana kita berasa kita hebat. Kita diberi peluang oleh -Mu wahai Ilahi. Kita leka dengan hambatan kegoan yang menyesakkan. Wahai teman dan sahabat, kita hidup ini sementara. Nyawa kita bukan kita penentunya. Apa yang dirisau dan dikhuatiri, jambatan penghubung antara hidup dan mati perlu kita cari agar kita tetap direstui. Amin

Wednesday, July 15, 2009

Kucing Kesayangan Kami







Suka berterus terang ( akhirnya )

Saya seperti juga insan yang lain amat menyukai untuk bersahabat dan menjalin hubungan. Sikap itu berguna kepada saya kerana saya adalah seorang linguis atau ahli bahasa yang perlu mengumpul fenomena bahasa untuk tujuan kajian. Orang seperti saya sebenarnya amat pragmatik hidupnya. Saya amat komited dengan bidang mengkaji dan memahami perkembangan bahasa, terutamanya bahasa Melayu. Saya tidak punya cita-cita, atau harapan lain dalam hidup ini, sementelahan saya berasa bahawa apa yang saya cita-citakan telah saya capai. Mungkin pandangan dan pegangan hidup saya agak berlainan dan kadang-kadang anih yang saya takuti sebenarnya akan membuatkan orang lain agak risau dan agak menganggu. Atas dasar itu saya amat berharap dalam menemani keanihan ini kita harus menyedari bahawa kita sedang berhadapan dengan satu keadaan yang agak mengusarkan. Saya seorang yang amat mudah untuk didekati, mungkin mudah untuk bersosial tetapi kadang-kadang kita tidak menyedari bahawa dalam etika perhubungan sesama kita manusia ini ada batasan-batasan yang harus disedari. Tetapi kita juga sedia maklum bahawa manusia ini kadang-kadang hatinya begitu lembut dan melankolik yang mudah tersentuh dan tertipu dengan bayang-bayangnya. Saya harus berterus terang dalam perkara ini, iaitu sebagai manusia saya sudah amat mensyukuri nikmat yang Allah kurniai, saya sudah ada amanah yang perlu diterajui dan saya juga harus melunaskan perjanjian sesama manusia dan juga dengan-Mu Ilahi. Wasalam.

Monday, July 13, 2009

Sukar nak ditafsir

Manusia ini memang anih, malah amat sukar di tafsir dan dimengerti. Kehidupan ini satu misteri kalau kita gagal mentafsir misterinya. Mungkin kita tahu misterinya tetapi kita tidak akan tahu merungkainya. Kita manusia bukannya mampu mentafsir misteri yang manusia sendiri menciptanya. Kedangkalan ilmu manusia hanya mampu mencipta misteri tetapi tidak tahu misteri itu ada misterinya. Sabar, kehidupan ini sebenarnya satu perjalanan yang penuh liku dugaan. Jalan-jalan berliku, lautan bergelora dan bergelombang cuma menduga manusia agar manusia berfikir bahawa hidup ini sebenarnya penuh misteri.

Etika Kerja

Masyarakat Melayu mementingkan perkara yang berkaitan dengan etika kerja. Perkara itu meliputi hal-hal yang berkaitan dengan tatatertib, peraturan, cara dan panduan. Masyarakat Melayu menekankan sama ada generasi sekarang atau akan dating agar berhati-hati dalam membuat sebarang pekerjaan misalnya:

Biar lambat asalkan selamat

Keselamatan lebih penting dan juga memperlihatkan kepercayaan orang Melayu bahawa wang boleh dicari tetapi kesihatan tidak boleh dibeli. Olehitu biar kita berjaga-jaga sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku. Orang Melayu juga dipesan supaya tidak tergopoh-gapah dalam membuat sebarang pekerjaan:

Tidak lari gunung dikejar

Perkara yang dibuat secara tergesa-gesa selalunya menimbulkan banyak kesulitan dan tidak lengkap serta terurus. Ole sebab itu masyarakat Melayu sering menerangkan bahawa apabila membuat kerja perlu difikirkan dahulu atau semasak-masaknya supaya selamat, hingga timbul peribahasa:

Awal dibuat, akhir diingat.

Masyarakat Melayu dahulu juga membuat kiasan iaitu apabila membuat sesuatu jangan membuat dengan tidak bersungguh-sungguh seperti peribahasa :

Alang-alang berdakwat biarlah hitam.

Sesuatu kerja janganlah dibuat bertangguh-tangguh kerana perkara itu tidak baik, seperti:

Kerja beragak-agak tidak menjadi, kerja beransur-ansur tidak bertahan.

Oleh itu apabila membuat sebarang pekerjaan biarlah menjadi seperti:

Diam ubi berisi, diam penggali berkarat.

Hanya orang yang bersungguh-sungguh sahaja yang akan Berjaya. Apabila sudah Berjaya pula jangan menyombong diri dan ingatlah serta ikutlah :

Resmi padi, semakin berisi semakin tunduk,
Ular yang menyusur akan tidak akan hilang bisanya.

Orang walaupun sudah Berjaya tetapi apabila bergaul dengan orang bawahan tidak akan mencemarkan statusnya. Masyarakat Melayu juga jangan sombong seperti:

Jangan ikut resmi lalang, semakin tua semakin tegak.

Etika kerja yang terburu-buru dan sikap tamak tidak digalakkan dan diamalkan oleh setiap ahli masyarakat. Etika kerja yang sebegini akan merugikan individu itu sendiri. Peribahasa yang memperkatakan soal sebegini dapat dilihat seperti di bawah:

Baru bertatih hendak berjalan, langsung tersembam.

Sikap malas

Selera bagai taji, seperti kanji
Menanti nasi tersaji di mulut

Berhati-hati dalam membuat keputusan:

Berjimat sebelum habis, beringat sebelum kena.
Terdorong kaki, badan binasa.
Terdorong lidah, emas padahnya.
Telah dijual, maka dibeli.
Sepuluh kali diukur, sekali dikerat
Padang perahu di lautan, padang hati di fikiran.
Dengar cakap enggang makan buah beluluk, dengar cakap orang terus masuk lubuk.
Berjalan pelihara kaki, bercakap pelihara lidah

Thursday, July 9, 2009

Sebuah Puisi Longlai

Malam terus kelam
sednngkan aku masih melayani mimpi
malam terus kelam
sedangkan aku masih aku
Aku masih di sini
melayani mimpi kesiangan

Aku
Aku seorang insan yang membelam
Terkenang kan rakan semalam
Yang bila kan mengerti
Erti kesedihan, dan kehampaan

Aku
Aku masih samar
terkenangkan kehampaan dan
kedukaan.
Kesedihan dan kehilangan,
tragisnya.

Aku
masih sayu dalam memuput bayu
dingin menerobos kehangatan malam
aku masih kasihan
dia mendambakan
kesyahduan malam

Aku
aku manusia biasa
aku tidak berupaya
menghampa dan menyiksa
insan yang ayu dan merindui.


09/07/2009
1157 mlm

Sunday, July 5, 2009

Tidak Suka Menghampakan

Saya seorang yang pragmatis, dan sentiasa positif apabila berhubungan dengan orang lain. Saya juga seorang yang amat sukar untuk menghampakan orang lain, kerana saya juga tidak suka jika dihampakan. Oleh itu saya amat berpegang kepada prinsip bahawa kita perlu membuat orang lain berasa gembira, walaupun kadang-kadang saya yang akan menanggung akibatnya. Rasa kasihan kepada seseorang itu yang membuatkan kita harus berfikir mengapa kita harus terus menyusahkan, berikanlah harapan yang bakal memberi sinar kepadanya. Tetapi kita tahu bahawa kita tidak boleh terus memberikan harapan palsu kepadanya. Ketahuilah bahawa kita tidak pernah berniat untuk menyusahkan, memalukan tetapi sedarlah setiap orang ada pendirian. Pendirian itu juga kadang-kadang kita tidak boleh pengaruhinya. Apa juga akibat daripada tindakan kita, kita sendirilah yang perlu tanggung. Dalam konteks ini, kita harus akui bahawa kebaikan seseorang itu juga akhirnya akan dipengaruhi oleh pendapat dan pandangan orang lain. Kalau itu yang berlaku kita terpaksa redha terhadap ketentuan ilahi. Wasalam