Wednesday, July 15, 2009

Suka berterus terang ( akhirnya )

Saya seperti juga insan yang lain amat menyukai untuk bersahabat dan menjalin hubungan. Sikap itu berguna kepada saya kerana saya adalah seorang linguis atau ahli bahasa yang perlu mengumpul fenomena bahasa untuk tujuan kajian. Orang seperti saya sebenarnya amat pragmatik hidupnya. Saya amat komited dengan bidang mengkaji dan memahami perkembangan bahasa, terutamanya bahasa Melayu. Saya tidak punya cita-cita, atau harapan lain dalam hidup ini, sementelahan saya berasa bahawa apa yang saya cita-citakan telah saya capai. Mungkin pandangan dan pegangan hidup saya agak berlainan dan kadang-kadang anih yang saya takuti sebenarnya akan membuatkan orang lain agak risau dan agak menganggu. Atas dasar itu saya amat berharap dalam menemani keanihan ini kita harus menyedari bahawa kita sedang berhadapan dengan satu keadaan yang agak mengusarkan. Saya seorang yang amat mudah untuk didekati, mungkin mudah untuk bersosial tetapi kadang-kadang kita tidak menyedari bahawa dalam etika perhubungan sesama kita manusia ini ada batasan-batasan yang harus disedari. Tetapi kita juga sedia maklum bahawa manusia ini kadang-kadang hatinya begitu lembut dan melankolik yang mudah tersentuh dan tertipu dengan bayang-bayangnya. Saya harus berterus terang dalam perkara ini, iaitu sebagai manusia saya sudah amat mensyukuri nikmat yang Allah kurniai, saya sudah ada amanah yang perlu diterajui dan saya juga harus melunaskan perjanjian sesama manusia dan juga dengan-Mu Ilahi. Wasalam.

No comments:

Post a Comment